Pencipta & penyanyi lagu 'PM Kita' disamun 15 mat rempit

|

ND Lala menunjukkan cermin keretanya yang pecah selepas disamun sekumpulan
15 remaja lelaki yang menaiki 10 motosikal, awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon yang juga usahawan e-dagang, Amir Hamzah atau ND Lala, 50, kerugian hampir RM4,000 apabila disamun sekumpulan 15 remaja lelaki yang menaiki 10 motosikal di stesen minyak Petronas di Jalan Genting Klang, berhampiran Danau Kota, awal pagi semalam. 

Ketika kejadian jam 3.30 pagi itu, ND Lala dalam perjalanan pulang dari pejabatnya di Danau Kota ke Cheras dan berhenti di stesen minyak untuk ke tandas.

“Apabila kembali ke kereta dan sedang membaca khidmat pesanan ringkas (SMS), saya lihat sekumpulan lelaki menaiki sedang berkumpul di jalan besar sebelum mereka tiba-tiba membuat pusingan U dan menuju ke arah kereta saya.
“Mereka menggunakan topi keledar mengetuk cermin sisi penumpang sebelah pemandu hingga retak dan meminta saya menyerahkan wang, telefon bimbit dan beg duit serta mengugut ingin membunuh saya. 

“Selepas mengambil semua barangan itu, mereka melarikan diri apabila sebuah lori yang membawa bekalan minyak masuk ke dalam stesen petrol berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam. 

ND Lala yang bersyukur kerana tidak dicederakan oleh kumpulan remaja bermotosikal itu, kemudiana membuat laporan polis di Balai Polis Setapak. 

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. 
Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai rompakan itu supaya menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkawan tanpa senjata api.


ND LALA MASIH TRAUMA SELEPAS DISAMUN
PENYANYI ND Lala yang disamun pada pukul 3.40 pagi Khamis lalu masih trauma dengan kejadian yang menimpanya. Kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang ketika penyanyi  ini singgah untuk membuang air.

Kata isteri ND Lala, Fauziah Sarman atau lebih mesra dipanggil Kak Zie, penyanyi itu sangat terkejut dan trauma apabila dia turut dipukul oleh sekumpulan sepuluh hingga 15 lelaki yang menunggang 10 buah motosikal.

``Abang (ND Lala) juga sebenarnya diheret keluar dari kereta dan dipukul oleh mereka. Sebelum itu mereka turut memecahkan cermin kereta dengan topi keledar. Kereta BMW itu pecah cermin dan pintu pun ada sedikit kerosakan. Waktu dipukul itu abang sempat melindungi wajahnya dari dan dia langsung tak melawan.

``Apa pun syukur Alhamdulillah sebab abang selamat. Harta benda takkan boleh disamakan dengan nyawa. Sekarang, abang hanya berehat dan badannya lebam-lebam. Dia memang sangat trauma dengan kejadian tu.

``Saya sendiri sebenarnya tak pernah berani mahu memberhentikan kereta di stesen minyak pada waktu malam sebab takut kejadian-kejadian macam ni berlaku. Tapi apa nak buat, ini dah takdir.

``Memang ada hikmah di sebalik apa yang berlaku iaitu kami akan lebih berhati-hati lagi pada masa depan. Harapnya orang lain pun akan berbuat perkara yagn sam,a dan memang ada hikmah di sebalik kejadian ni.

``Yang penting, selepas ni kami akan lebih berhati-hati. Harapnya orang lain pun sama dan tak mudah  nak berhenti di mana-mana tempat pada waktu tengah-tengah malam. bimbang perkara yang tak elok akan terjadi,’’ kata Kak Zie.

Dalam kejadian itu, ayah kepada penyanyi Shila Amzah ini kerugian RM2,500 apabila telefon bimbit dan kunci kereta miliknya di rampas. Suspek-suspek tersebut melarikan diri  apabila lori tangki tiba untuk mengisi minyak di stesen itu.

0 comments: