Patut la Kak Jat beli rumah mahal kat Singapura

|

MAHU LUASKAN PASARAN: Cik Izzana mendedahkan pihaknya kini mendapatkan permintaan membuka restoran Meatworks di Timur Tengah. Justeru, beliau sedang mebuat kajian pasaran. - Foto KHALID BABA

17 Jul 2011 - EKSTRA!

BIASANYA, wanita dalam lingkungan umur 20-an gemar berbual tentang teman lelaki, fesyen pakaian terkini, kasut atau alat-alat solek.

Bagaimanapun, tidak demikian dengan Cik Izzana Salleh, pemilik restoran MeatWorks.

Beliau lebih suka bercakap tentang bisnes - bagaimana meningkatkan lagi usaha-usaha menternak lembu, meningkatkan mutu makanan di restorannya, memasarkan francais MeatWorks ke tahap antarabangsa atau bagaimana meluaskan penceburannya dalam bidang perniagaan.

Cik Izzana, gadis jelita dan manis setinggi 1.8 meter, berkelulusan ijazah dalam bidang bioteknologi dan kimia dari Universiti Cal Poly Pomona, Amerika Syarikat ini merupakan anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam sebuah keluarga yang terkenal di Malaysia.

Beliau telah dihantar belajar ke luar negara pada umur 15 tahun.

Setelah tamat persekolahan, beliau bekerja di Howard Hughes Medical Institute, sebuah pertubuhan kajian perubatan mengenai DNA.

Tutur kata dan gaya Cik Izzana memang lembut dan feminin, namun apabila bercakap mengenai bisnes, matanya mula bersinar dan nada suaranya bertukar menjadi tegas.

Pada usia yang muda, beliau sudahpun menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Real Food Company Sdn Bhd, sebuah syarikat bersepadu yang menguruskan restoran MeatWorks dan mengedarkan daging halal segar dan produk daging, hasil dari ladang ternakan lembu seluas 1,500 ekar di daerah Gemas, Negeri Sembilan, yang dinamakan Gemas Gold Meat.

Ladang ternakan yang dimuatkan dalam program nasional Malaysia itu adalah perniagaan keluarga beliau.

Pada masa ini, hanya terdapat 6,000 ekor lembu jenis Brahman yang diternak walaupun ladang tersebut boleh memuatkan kira-kira 24,000 ekor lembu.

Produk dari ladang ini sudah pun diedarkan ke beberapa restoran seperti Burger King di Malaysia, pasar raya dan hotel dan sedang dalam perbincangan untuk mengedarkannya di Singapura.

Walaupun apa yang beliau pelajari adalah jenis sains yang berlainan, Cik Izzana berkata ia amat membantu dalam perniagaan beliau sekarang ini khususnya dari segi teori dan butir-butir teknikal.

Menurut Cik Izzana, terdapat juga sains dalam perniagaan makanan dan pertanian.

Restoran MeatWorks yang dibuka di gedung beli-belah Ion Orchard dikendalikan oleh Cik Izzana sendiri. Ia merupakan restoran keduanya. Restoran pertama telah dibuka di Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Menceritakan tentang restorannya di Kuala Lumpur, Cik Izzana berkata ia merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan.

Pada hari pembukaan restoran, sambutan yang beliau perolehi sungguh menggalakkan.

Oleh kerana kekurangan pekerja, seluruh anggota keluarga beliau terpaksa campur tangan dalam urusan restoran itu.

Beliau sendirilah yang menjadi pelayan sementara bapa, ibu dan abang-abang beliau semuanya bertungkus-lumus di dapur.

'Menjadi pelayan bukan senang kerana macam-macam kerenah pelanggan,' kata Cik Izzana.

Daripada pengalaman itu, beliau kini lebih faham perasaan seseorang pelayan yang senantiasa mengharapkan pelanggan yang baik budi.

Seorang yang gemar dan faham tentang makanan, Cik Izzana sentiasa mencari jalan dan idea untuk meningkatkan lagi mutu makanan di restoran MeatWorks.

Setiap maklum balas yang beliau terima daripada pelanggan sangat beliau hargai dan beliau akan cuba memperbaiki mutu makanan untuk memberi kepuasan kepada semua pelanggannya.

Restoran MeatWorks yang kedua di Singapura dijangka dibuka November akan datang di Rochester Mall berdekatan stesen MRT Buona Vista.

0 comments: