Pencalonan Normala, ramai jantan UMNO kecewa di Tenang

|

Date: Sunday, January 09 @ 07:02:34 PST
Topic: Fokus Isu

Oleh Safar Jumaat

Umno Johor tahun 2011 bukan Umno Johor dulu lagi. Ketika ini, apabila berlaku pilihan raya kecil DUN Tenang, 30 Januari ini, Umno sebenarnya cukup gusar dengan perkembangan yang berlaku di kawasan itu. Kematian Dato' Sulaiman Taha, 17 Disember 2010 yang lalu sebenarnya mendedahkan banyak pekung dalam Umno di bahagian ini. Walaupun dari segi sejarahnya memang Dun Tenang adalah milik Umno, tetapi hari ini, ia terbuka kepada sesiapa sahaja, jika kena strateginya, Umno boleh dikalahkan.

Ketika Umno Johor mahu mencalonkan wanita sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, mereka sudah menunjukkan perbalahan yang cukup dahsyat. Terbaru, pertama kali ahli jawatankuasa bahagian bermesyuarat selepas kematian Sulaiman, perbalahan hingga gagal meneruskan mesyuarat telah tercetus.

Ada usaha untuk menyekat Timbalan Ketua Bahagian yang kini sudah tentu menjadi pemangku ketua, kerana dia bukan anak tempatan. Bermulalah cerita, Umno Johor akan mencalonkan anak tempatan hanya kerana mahu menyisihkan timbalan yang ada. Sejarah Umno bahagian ini cukup berwarna-warni. Sejak kepimpinan Allahyarham Ibrahim Daud, usaha mengenepikan Ibrahim sudah bermula dengan mencalonkan Dato' Bahari Haron sebagai Adun Tenang, walaupun dia bukan ketua bahagian.

Bahari kemudiannya dijadikan Ketua Bahagian atas kehendak Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tetapi apabila Bahari sudah kehilangan pengaruh akibat Muhyiddin ke Kuala Lumpur, Ibrahim berjaya menjadi Adun Tenang, walaupun hanya sepenggal. Selepas Ibrahim dikalahkan Allahyarham Sulaiman, Sulaiman terpilih menjadi Adun Tenang sejak 2004. Berlaku juga pertembungan antara Sulaiman dengan Dato' Abdul Rahman Yunus, tetapi Sulaiman masih kuat di situ.

Sebelum kewujudan Bahagian Sekijang, Baharom Mohamad adalah Timbalan Ketua Bahagian Labis. Banyak pihak mendakwa, sekiranya Baharom tidak berpindah ke Sekijang, beliau mungkin sudah mengetuai Umno Labis. Ini cerita lama tetapi kini, segala pekung yang sudah lama terpendam mula kelihatan. Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman dikatakan sudah disampaikan maklumat bahawa jawatankuasa bahagian tidak boleh bekerja sama sekarang ini, kerana masing-masing merasakan mereka layak menjadi calon.

Tidak mustahil, jika sampai tarikh pilihan raya, pengundi-pengundi yang sudah meluat dengan karenah kepimpinan Umno bahagian ini akan mengajar Umno dengan mengalahkan calon yang dipertandingkan. Di Bakri dan Muar, PAS sudah berjaya memenangi dua kerusi Dun. Siapa sangka, Muar dan Bakri, bahagian yang mempunyai pemimpin-pemimpin Umno yang hebat suatu ketika dahulu, kini sudah mahukan perubahan.

Kebetulan, Labis ini berjiran dengan Pagoh. Bahagian Pagoh diketuai Muhyiddin dan Muhyiddin rasanya tidak berminat ke Labis walaupun jaraknya hanya selangkah dua. Tetapi, selepas ini, apabila berlaku PRK Dun Tenang, beliau mungkin akan berkampung di Tenang dengan cerita-cerita bahawa apa yang ada di Pagoh, akan dibawa ke Labis.

Sebenarnya, sama ada Ghani sebagai MB Johor dan Muhyiddin sebagai TPM tidak pernah berhasrat untuk membangunkan Labis. Jauh sekali mahu membantu mereka yang berada di Labis. Tetapi, usah terkejut jika selepas ini Muhyiddin dan Ghani akan menjanjikan bulan dan bintang di Labis, termasuk kawasan Felda Cempelak yang mempunyai sekitar 1,500 pengundi Melayu.

Pengundi Dun Tenang sepatutnya malu dengan kemudahan infra di kawasan mereka. Berpuluh tahun Parlimen Labis diwakili menteri tetapi, pembangunannya cukup mengecewakan. Tun Dr. Ling Liong Sik pernah menjadi Ahli Parlimen ini beberapa penggal sebelum diambil alih Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek.

Jika pengundi Dun Tenang sedar, jika dibandingkan 26 bahagian Umno dalam Negeri Johor, tidak keterlaluan jika dikatakan Labis lah antara kawasan yang paling ketinggalan dari bahagian-bahagian lain. Ini kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mungkin tidak perlu bersusah payah membangunkan Labis dan Dun Tenang, hanya kerana mereka yakin pengundi di kawasan ini memang penyokong tegar mereka.

Tenang dan Labis tidak popular seperti popularnya Segamat yang berjiran dengannya dan Pagoh. Ini kerana Segamat diwakili Menteri Sumber Manusia, Dato' Dr. S. Subramaniam dan Pagoh diwakili Muhyiddin. Jika PAS dan Pakatan Rakyat dapat memberi penerangan secara jelas kepada pengundi-pengundi di Tenang, jangan terkejut jika PRK kali ini akan menyebelahi PAS dengan memberi satu isyarat jelas kepada Umno Johor, bahawa mereka sudah tidak kebal lagi.

Abdul Ghani dan Muhyiddin tentunya menghadapi ujian besar di Tenang kerana jika Umno kalah, mereka akan salah menyalah antara satu sama lain. Muhyiddin yang sudah mengumumkan Abdul Ghani sebagai Pengarah PRK Dun Tenang ini tentunya mahukan komitmen Abdul Ghani 100 peratus kerana jika Umno (BN) kalah dalam PRK ini, momentum kemenangan di Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi akan menjunam teruk.

Sebenarnya, apabila berlaku PRK, Timbalan Perdana Menteri (Timbalan Pengerusi BN) adalah secara otomatik dilantik menjadi pengarah. Tetapi, mungkin Muhyiddin kurang selesa menjadi Pengarah PRK Tenang kerana Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor ialah Abdul Ghani.  Sukar untuk Muhyiddin bekerja berganding bahu dengan Abdul Ghani kerana sejarah hitam hubungan mereka berdua sejak sekian lama.

Jika semua masalah ini disenaraikan di sini, tidak ada sebab mengapa Dun Tenang tidak boleh terlepas dari tangan BN dalam PRK 30 Januari depan.

0 comments: