Zambry urus negeri Perak macam jaga restoran mamak

|

Lambat siap: Penjelasan Zambry dituntut
Harakahdaily

IPOH, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Perak, mahu kerajaan negeri itu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung beberapa projek yang gagal siap mengikut jadual seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Jabatan Audit Negara 2009 awal minggu ini.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata penjelasan itu sangat penting kerana projek yang dilaporkan tersebut adalah berkaitan dengan keperluan yang selama ini ditunggu rakyat.

Ianya termasuk projek Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.

"Kita mahukan penjelasan kerana ianya berkait rapat dengan rakyat terutamanya kemudahan-kemudahan yang sebelum ini pernah menjadi janji kerajaan negeri, namun malangnya tidak dapat disiapkan malah merugikan wang rakyat.

"Kita juga menuntut satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat permasalahan yang telah timbul samaada secara sengaja ianya dilewatkan atau sebaliknya," katanya.

Tambahnya lagi, keadaan itu juga jelas menunjukkan sikap tidak peka dan lepas tangan kerajaan negeri untuk memantau setiap projek selepas ianya diluluskan.

"Sikap pertanggungjawaban di atas kelewatan projek-projek tersebut sudah tentu akan diletakkan kepada pihak kedua atau ketiga di dalam menyabitkan kesalahan tersebut kelak.

"Yang pastinya, pentadbir kerajaan negeri akan terlepas di atas kelemahan dan kecuaian bagi mengatasi masalah tersebut," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir membentangkan kertas putih di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak nanti bagi memperjelaskan isu tersebut.

"Kita amat kesal jika kerajaan negeri tidak bertindak tegas terhadap mereka-mereka yang mencari keuntungan di atas kelemahan pengurusan dan menekan rakyat atas kelemahan yang seolah-oleh sengaja diada-adakan," jelasnya.

0 comments: