Makbulnya doa seorang ibu....

|

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mendapati Rashidi Ismail, 34, tidak bersalah membunuh anggota keluarganya pada Januari lalu atas alasan dia tidak siuman.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin mengarahkan Rashidi ditahan di Penjara Kajang sehingga diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketika menjatuhkan keputusan, Ahmad Nafsy berkata tindakan Rashidi membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya tidak konsisten dengan orang yang waras dan ini disokong oleh keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri dari Hospital Permai, Dr Badi'ah Yahya.

Rashidi didapati menghidap penyakit "skizofrenia" selama dua tahun dan tidak pernah mendapat sebarang rawatan sebelum kejadian pembunuhan ahli keluarganya pada 5 Jan lalu, katanya.

"Doktor pakar membuat rumusan bahawa ketika kejadian pembunuhan itu, tertuduh berada dalam keadaan tidak siuman serta berpegang teguh kepada arahan yang dikeluarkan oleh halinusasinya," kata Ahmad Nafsy.

Katanya mahkamah juga yakin dengan pendapat Dr Badi'ah kerana prosedur kajian pakar itu adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keputusan itu disambut oleh perasaan lega oleh ahli keluarga Rashidi yang kemudian bergegas ke belakang mahkamah untuk melihatnya.

Ibu tertuduh, Zaharah Atan ketika ditemui pemberita, berkata : "Keputusan ini merupakan anugerah Aidilfitri".

"Alhamdullilah, terlepas dari tali gantung. Masa sembahyang, makcik tidak putus-putus berdoa supaya dia terlepas dari hukuman gantung," katanya.

Semasa perbicaraan, Rashidi memberitau mahkamah dia melakukan perbuatan itu selepas mendapat "arahan dari tulisan di dinding".

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala Rashidi diwakili peguam bela, Hanif Hassan. - Bernama

0 comments: