Selamat Berehat Murabbi Umat: Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad

|

Lewat malam itu semasa saya dan sahabat-sahabat Singapura berbincang tentang jadual saya sepanjang Jerayawara, ada usul yang mencadangkan agar selepas Solat Jumaat di Masjid Muhajirin, Singapura, kami pergi menziarahi seorang ilmuan Islam tersohor Singapura yang sedang gering di Hospital Tan Tock Seng.

Ilmuan yang dimaksudkan itu adalah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad.

Kali pertama saya mengenali beliau adalah melalui buku “Tazkirah Untuk Orang Mengaji: Karya Sonhadji” yang diedit oleh Dr. Zulkifli Mohd Yusoff. Ustaz Zulkifli banyak mengkaji tentang pemikiran dan hasil karya Ustaz Ahmad Sonhadji. Saya memberikan naskhah buku tersebut sebagai hadiah kepada ibu saya yang amat menghargai buku-buku sedemikian rupa.

Saya kemudiannya mengambil masa untuk membaca dan mengenali dengan lebih jauh tentang Ustaz Ahmad Sonhadji.

Ustaz terkenal melalui siri kuliah tafsir al-Quran melalui radio di Singapura. Koleksi kuliah berkenaan dihimpunkan dan akhirnya menjadi koleksi lengkap Tafsir al-Quran kontemporari karangan ulama tempatan yang dinamakan sebagai Abrul Athir. Biar pun kitab Abrul Athir tersebut digunakan secara meluas di Nusantara, saya lebih mengenal Ustaz melalui buku kecilnya bertajuk MARI SEMBAHYANG yang amat meluas digunakan di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah tidak keterlaluan saya rasakan seolah-olah banyak buku berkenaan solat diciplak daripada buku asal MARI SEMBAHYANG yang dikarang oleh Ustaz Ahmad Sonhadji.

Sungguh banyak jasa ustaz.

Hasil nukilannya melebihi 1000 naskhah dan saya menjadikan beliau sebagai inspirasi diri untuk tidak penat belajar, mengajar dan menulis agar tidak mati oleh kunjungan kematian satu hari ini.

Sungguh terkilan.

Jadual yang padat di Singapura tempoh hari, tidak mengizinkan saya untuk menziarahi ustaz. Hanya doa dipohon semoga Allah merahmati beliau di katil uzurnya.

Hari ini, 2 Ramadhan 1431H bersamaan 12 Ogos 2010, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad kembali ke Rahmatullah… pada usia kira-kira 88 tahun.

Foto Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad pada tahun 2004
[Ihsan http://www.flickr.com/photos/roodee/27880388/]

Semoga pemergian Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad di bukaan tirai Ramadhan 1431H, kembali ke Rahmatullah, hanya sekadar perpindahan beliau daripada kepenatan dunia menuju kepada kerehatan di barzakh, tetapi hakikatnya Ustaz terus ada bersama kita melalui karya-karyanya yang banyak itu.

Ya Allah, cahayakan kediaman ustaz di Barzakh dengan limpahan Nur-Mu.
Rehatkan ustaz di Barzakh daripada kepenatan mehnah hidup di dunia.
Jadikan kehidupan ustaz sebagai teladan buat kami untuk hidup berjasa.
Jadikan kematian ustaz sebagai tazkirah buat kami untuk mati bererti.

Ameen, ya Rabb al-’Aalameen.

>>> Kenyataan Rasmi Majlis Ugama Islam Singapura boleh dibaca di http://www.muis.gov.sg/cms/news/press.aspx?id=15450

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Beserah, Kuantan

0 comments: