Jabatan Mufti Brunei: Huraian panjang berkenaan taik judi

|

HADIAH HOLE-IN-ONE DALAM PERMAINAN GOLF

SOALAN :

Dalam permainan golf ada satu acara dinamakan hole-in-one dan hadiahnya begitu lumayan sampai sebuah kereta yang mahal. Apakah hukum disegi Islam mengenai hole-in-one , adakah merupakan judi kerana ianya merupakan nasib bukannya chance?

Jawapan :


Permainan golf telah dianggap suatu perkara kemahiran, seperti juga halnya dengan memanah, menembak dan sebagainya. Sesebuah kelab golf biasanya mengadakan perlawanan diantara ahli-ahlinya dan juga perlawanan-perlawanan terbuka.

Demikian juga persatuan-persatuan golf diberbagai peringkat mengendalikan perlawanan-perlawanan peringkat kebangsaan dan juga diserata dunia, sehingga permainan golf itu sudah menjadi bidang kerjaya dan professi yang menarik, ditambah lagi dengan perlawanan-perlawanan itu biasanya menawarkan hadiah-hadiah yang bernilai tinggi. Maka atas semua ini golf telah turut memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi apabila terwujudnya industri yang berkaitan, dengannya seperti industri membuat peralatan-peralatan pakaian dan minuman yang berkaitan dengan golf itu. Bahkan bagi negara-negara yang serius dengannya, barangkali ia telah dijadikan sebagai komponen dari industri perlancongan.

Demikian secara ringkas kedudukan permainan atau sukan golf itu. Jika ia hanya sebagai permainan semata-mata adalah hukumnya harus jua. Berbeza sekiranya terdapat perkara-perkara lain yang menjadi tegahan syara' dilibatkan kepadanya.

Diantara perkara-perkara yang menjadi tegahan syara' itu, ialah seperti perjudian, ataupun jika permainan itu sendiri boleh membawa seseorang yang bermain itu sampai terlupa kepada kewajipannya terhadap Allah dan lain-lain.

Adapun jua permainan yang boleh menyebabkan tertinggalnya tuntutan wajib dalam ugama, seperti sembahyang fardhu dan lain-lain, adalah ia haram. Demikian juga sampai menyebabkan terabainya segala hal dan kewajipan yang wajib ditunaikan.

Namun, tidaklah dapat diramalkan sejauhmana kesan negatifnya permainan itu boleh menjejaskan hak-hak dan kewajipan-kewajipan seseorang.

Tetapi bagaimanapun, yang perlu bagi kita ialah mengetahui bahawa perintah Allah adalah tetap dan pasti berlaku untuk kita umat Islam mesti dan wajib menunaikan setiap hak bagi sesiapa jua yang ampunya hak, sebagaimana hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam di bawah ini :


Bermaksud " Sesungguhnya atasmu ada hak ( yang hendak ditunaikan ) terhadap Tuhanmu dan atasmu ada hak (yang hendak ditunaikan) terhadap dirimu sendiri dan atas dirimu ada hak (yang hendak ditunaikan) terhadap keluargamu, maka berikanlah oleh mu tiap-tiap yang ampunya hak itu akan haknya."

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sebagai untuk renungan jua cuba kita lihat Berita Harian Malaysia, Rabu 9 Ogos 1995 di bawah tajuk : "Jangan abai kerja kerana golf". Seorang ketua kerajaan telah menegur sikap pegawai kerajaan yang terlalu leka bermain golf sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menjalankan tugas. Malah, kata pemimpin itu ada pegawai kerajaan yang tidak melaksanakan tugasnya dengan baik kerana sudah memikirkan untuk bermain golf jam 3 petang. Jika jam 3 petang sudah siap sedia hendak ke padang golf, ini sudah tentu menjejaskan tugas mereka".

Sila juga lihat Utusan Malaysia Jumaat 1 Nobember 1996 di bawah tajuk : " Pendidik, Pegawai dipecat kerana bermain golf ".

SEOUL 31 Oktober - Seramai 19 pendidik dan kakitangan kerajaan Korea Selatan mungkin dipecat kerana bermain golf semasa waktu bertugas, kata pemeriksa kerajaan hari ini.

Mereka yang bakal dipecat itu, termasuk profesor universiti, pengetua sekolah menengah dan eksekutif bank dan syarikat, ditemui bermain golf di tiga padang golf tentera pada awal September, menurut pihak Pejabat Audit dan Pemeriksaan (OIA).

" Tindakan disiplin akan disyorkan terhadap 19 orang itu serta kakitangan awam lainnya yang didapati bermain golf semasa waktu bertugas, " kata jurucakap OAE.

Juruaudit telah menjalankan siasatan secara rahsia di padang golf sejak Presiden Kom Young Sam, seorang bekas penentang kerajaan, mengharamkan pegawai kerajaan daripada bermain golf sebagai sebahagian kempen antirasuah yang dilancarkannya.

Para pegawai kerajaan dan kakitangan syarikat kendalian kerajaan pernah dipecat kerana bermain golf. AFP"

Lihatlah kandungan berita di atas ini, kedua-duanya mengenai dengan permainan golf, iaitu betapa pengaruh golf itu nampak-nampaknya sampai mendorong seseorang menyalahgunakan masa bertugas dan lain-lain yang tidak diingini.

Dua berita tersebut baru kita dapati menjurus kepada kesan negatifnya dari segi, ianya boleh membawa kepada menyalahgunakan masa bertugas dan rasuah yang sangat-sangat dilarang dan bertentangan dengan peraturan serta etika pekerjaan. Belum lagi ianya dihubungkan dengan ugama - jika yang terlibat itu orang Islam.

Bagi kita orang Islam ada lebih banyak lagi perkara yang mesti diperhatikan.

Mengenai 'penyalahgunaan masa' sahaja, ada bermacam-macam kesalahan boleh terjadi, disamping salah satunya ialah penyalahgunaan masa bertugas. Bahkan yang lebih-lebih menjadi ukuran kesalahan dan dosa ialah menggunakan masa itu sehingga tertinggal kewajipan terhadap Allah seperti tertinggalnya sembahyang fardhu, ataupun sembahyang itu tidak dapat disempurnakan sebagaimana semestinya kerana sibuk atau bergegas untuk memenuhi jadual permainan.

Jika kewajipan terhadap Allah boleh terjejas, betapa kewajipan terhadap keluarga, anak isteri, ibu bapa dan jiran lebih-lebih lagi dengan senang sahaja boleh terabai.

Pada hal masing-masing itu ada hak-hak yang mesti ditunaikan. Hak keluarga umpamanya memerlukan perhatian dan pemedulian yang saksama ; hak ibu bapa untuk menziarahi mereka ; hak jiran untuk melawat jika mereka sakit, atau menunaikan undangan jika mereka mengundang dan lain-lain. Ini semua boleh menjadi dosa dan salah jika tidak ditunaikan dengan sewajarnya. Lain lagi kiranya permainan itu dikaitkan dengan perkara judi atau ianya dijadikan landasan untuk berjudi, adalah juga sangat terang ' menjadi kesalahan dan haram disisi syarat, iaitu seperti orang bermain dengan bertaruh, samada orang yang bermain itu sendiri yang bertaruh ataupun besar.

Adapun mengenai dengan hole-in-one dan hadiah kerananya, perlulah dilihat bagaimana hadiah itu diperolehi. Jika ianya diperolehi daripada seseorang, yang dengan hartanya sendiri suka memberikan hadiah itu kepada pemenang secara hole-in-one itu, maka adalah harus sebagai hadiah biasa kerana berjaya dalam ujian kepandaian atau kebolehan, dengan syarat ianya tidaklah jadi perkara maksiat, atau dicampur dan dilibatkan dengan maksiat, atau dicampur dan dilibatkan dengan maksiat.

Berbeza kiranya ia dijadikan perkara maksiat, atau jadi sebab berlakunya maksiat, seperti terdapat pihak-pihak yang mengalami untung rugi kerananya seperti bertaruh atau lain-lain.

Atau seperti misalan ini : A telah bertindak menjadi penganjur permainan. Selaku penganjur, A ingin mencari penaja yang boleh menyumbangkan hadiah untuk pemenang hole-in-one. Penaja ini kita sebut sebagai B. Maka B pun dapat diperolehi berupa sebuah syarikat penjual kereta yang telah menyatakan kesanggupannya untuk menyumbangkan sebuah kereta yang berharga $100,000/= sebagai hadiah kepada pemenang hole-in-one itu nanti.

B selaku penaja tidak mahu menanggung risiko kerugian sebanyak $100,000/= itu secara bersendirian. Oleh itu iapun mencari pihak ketiga (C) untuk membantunya mengurangkan beban kerugian tersebut, sehingga tidaklah akan sampai $100,000/= ditanggungnya sendiri jika berlaku ada pemenang hole-in-one. C ini sebuah syarikat insuran.

Maka perundingan tawar menawar diantara B dan C pun dibuat, dimana C telah bersetuju menerima bayaran daripada B sebanyak $30,000/= sebagai insuran, dengan pengertian, sekiranya terdapat pemenang hole in one itu, maka di atas C lah yang akan menanggung pembelian kereta berharga $100,000/= untuk dihadiahkan kepada pemenang, dalam makna C tidak untung apa-apa malahan akan rugi sebanyak $70,000/= lagi. Sementara B pula hanya rugi sebanyak $30,000/= (harga insuran yang telah dibayarnya kepada C tadi). Sebaliknya jika tiada terdapat pemenang hole-in-one itu, maka C lah yang akan untung cuma-cuma sebanyak $30,000/= sementara B sebagai penaja cuma rugi $30,000/= sahaja sebagai pertaruhannya membayar harga insuran kepada C.

Dalam kedudukan seperti ini sekiranya berlaku, maka tidaklah diragukan bahawa permainan itu telah dilibatkan dengan judi atau menjadi judi. Sedang judi itu hukumnya sudah jelas iaitu haram, berdasarkan dalil daripada Kitab Suci al-Quran, Firman Allah :


Tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil) ?"

di dalam ayat di atas bermakna judi, apa sahaja jenis perjudian.

Adapun perjudian itu diharamkan kerana ia membawa kepada berbagai keburukan seperti permusuhan, dan juga boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil sedangkan memakan harta orang dengan cara yang batil itu ditegah oleh Allah, seperti firman-Nya :


Maksudnya : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil ) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah." (Surah al-Baqarah : 188)

Pengharaman ini juga termasuk seperti sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :


Maksudnya : " Sesungguhnya orang-orang yang menceburkan diri dengan mengambil harta Allah secara tiada hak, maka baginya api neraka di hari Kiamat." ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sabda Baginda lagi :


Bermaksud : " Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa ( haram seperti judi dan sebagainya ), lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah, atau berderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan dicampakkan bersamanya ( orang tersebut ) ke dalam neraka Jahannam".

Hadis ini bermaksud bahawa apabila seseorang itu mempergunakan harta-harta haram bagi tujuan-tujuan yang baik sekalipun, semuanya itu tidaklah akan berkesan apa-apa melainkan dosa jua yang didapatnya serta neraka jahannam menjadi tempatnya.

Tetapi bagaimanapun, dia masih boleh bertaubat dan membersihkan diri dan keluarganya daripada harta haram itu, dengan cara menyerahkan semua harta haram itu kepada Baitul Mal atau lembaga yang diamanahkan bagi menjalankan kebajikan untuk masyarakat umat Islam, iaitu bukan sebagai sedekah atau derma, tetapi hanya melepaskan harta haram itu. Orang yang melakukan ini akan mendapat pahala kerana taubatnya dan juga kerana langkahnya melepaskan diri daripada harta haram itu.

Adapun mengenai dengan hole-in-one, sekiranya ia dijadikan atau terlibat atau dilibatkan dengan perjudian, maka hadiahnya itu adalah dinamakan hasil judi, dan hasil judi itu hukumnya haram. Mana-mana orang yang terlibat dengannya hendaklah bertaubat dan membersihkan diri daripada harta haram dengan cara menyerahkannya kepada Baitul Mal atau badan lembaga yang berkuasa mengenai masyarakat Islam.

Dengan itu, diharapkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menerima taubatnya dan melepaskannya daripada golongan yang tidak diterima doa mereka seperti dalam hadis, sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :


Maksudnya : "Bahawasanya Allah adalah baik, bersih dan tidak menerima kecuali yang baik, bersih. Kemudian Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menyebut : "Lelaki (seseorang) yang bersungguh-sungguh berbuat kebajikan dan menadahkan tangan ke langit berdoa Ya Allah ! Ya Allah ! sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan diberi makan dengan yang haram, maka bagaimanakah doanya boleh diperkenankan ?"

(Hadis Riwayat Muslim)

Menggunakan harta dari sumber yang haram menjadikan ibadat tidak diterima oleh Allah. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam suatu hadis panjang kepada seorang yang bertanya kepada Baginda, disebutkan dengan panggilan


Bermaksud : "Wahai Saudara Al-'Aliyah bahawasanya barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber yang haram, lalu dia pakai pakaian (jilbab) dari harta yang haram itu, maka tidak akan diterima sembahyangnya sehingga dia membuangkan pakaian itu daripadanya. Allah yang Maha Kuat dan Maha Mulia, lebih mulia dan lebih Tinggi untuk menerima amalan atau sembahyang bagi seseorang yang terdapat di atasnya pakaian dari sumber yang haram."

Dalam hadis lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda kepada Ka'b Ibn 'Ujrah :


Maksudnya : "Wahai Ka'b ibnu 'Ujrah, Tidak akan masuk syurga (tubuh yang subur/sihat) dari harta haram."

Oleh yang demikian, sayugia bagi setiap muslim memelihara dirinya dan keluarganya dari harta yang haram yang mana di akhir zaman ramai orang tidak memperdulikan lagi sumber rezekinya samada halal atau haram seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam sabdanya :


Maksudnya : "Akan tiba ke atas manusia suatu masa di mana orang tidak memperdulikan lagi apa yang dia ambil, samada dari yang halal atau dari yang haram."

Berasaskan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang telah disebutkan di atas, maka mengambil atau menerima apa jua dari sumber yang haram itu adalah haram dan akan menjadi bala mendapat azab di akhirat serta amal ibadat tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

1 comments:

Elena Nino said...

Adakah anda segera perlu pinjaman? jika ya sila hubungi saya melalui e-mel: elenanino07@gmail.com

Puan Elena