Hulu Selangor jadi saksi pengundi hantu upgrade jadi calon BN

|

Exco kerajaan Selangor, Xavier Jayakumar pada ucapannya di sebuah ceramah malam semalam mendakwa P Kamalanathan sebagai pengundi hantu di parlimen Sungai Siput.

Sungai Siput merupakan kubu kuat MIC yang dipegang oleh presiden parti itu, Datuk Seri S Samy Vellu sejak sekian lama sebelum ditumbangkan oleh Jeyakumar Devaraj dari PSM pada pilihan raya umum 2008.

Ahli dewan undangan negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dari PKR juga membuat dakwaan yang sama dalam twitter dengan mengemukakan nombor MyKad Kamalanathan (kiri).

Mesej twitter itu berbunyi: “Mengemparkan! Dr Xavier baru mendedahkan bahawa Kamalanathan adalah Pengundi Hantu di P62 Sungai Siput. Semak sendiri 651018-10-XXXX".

Malaysiakini menjalankan semakan melalui laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan nombor yang dibekalkan dan mendapati Mykad itu milik seseorang yang bernama P Kamalanathan, yang merupakan pengundi di parlimen Sungai Siput dan juga dewan undangan negeri, Jelong.

Menurut data SPR alamat Kamalanathan adalah di Heawood Garden, dan dia mengundi di Simpang Tiga.

Xavier (kanan) kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa Kamalanathan tinggal di Rawang,dan alamat di MyKadnya tertera alamat di Rawang itu.

Beliau sekarang adalah calon BN bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya fikir jika seseorang ingin menjadi ahli parlimen beliau harus berprinsip dan bertanggung jawab berhubung apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Ini menujukkan bahawa beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan sanggup membelakangkan undang-undang.”

Malaysiakini menghubungi P Kamalanathan untuk penjelasannya tetapi beliau berkata akan menjelaskan perkara itu pada masa yang sesuai.

"Saya sedang fokus pada pilihan raya Hulu Selangor, saya mahu berjumpa pengundi dan bermesra dengan mereka. Saya tidak akan komen sekarang.

"Saya akan komen pada masa yang sesuai. Saya terpaksa menghadiri mesyuarat sekarang. Selamat tinggal.”

0 comments: