Alamak! maksiat lagi kat kampung tumpah darahku

|

Blog Ajijoi: Arak dan joget lambak di Kg Kepayang

KG KEPAYANG 12 APRIL: Seorang penduduk di Kg Tersusun Batu 5, Kg Kepayang Sg Raia (Dun Teja) menyatakan rasa kesalnya apabila gejala maksiat kian berleluasa di kampung tersebut.

Kejadian pada malam minggu lepas amat terkesan baginya apabila ada penduduk kampung yang mengadakan majlis kenduri dan marhaban pada sebelah paginya, doa selamat pada tengaharinya tetapi dituruti pula dengan berkaraoke sehinggalah acara kemuncaknya iaitu joget lambak pada sebelah malamnya. Dan joget lambak itu pula dimeriahkan lagi dengan tegukan arak yang merancakkan lagi joget lambak tersebut di antara lelaki dan perempuan.

Acara tidak terhenti di situ sahaja apabila malam dihangatkan lagi dengan adegan merempit setelah memanaskan badan dengan arak dan tarian.

Pelbagai jenis botol dan tin-tin arak daripada yang mahal sehinggalah yang semurah RM5.00 dapat disaksikan bergelimpangan disekitar kawasan rumah kenduri tersebut pada sebelah paginya (seperti di dalam gambar). Ada juga yang ditinggalkan dihadapan pagar rumah jiran-jiran sekeliling.

Penduduk yang mengadu itu berharap sangat agar ada pihak-pihak berkuasa yang dapat membuat sesuatu agar gejala maksiat yang sebegini tidak berulang lagi di kampung tersebut. Ketua kampung juga disarankan agar memantau serta menasihati mereka-mereka yang terlibat.

Beliau bimbang sekiranya tidak dicegah, bala daripada Allah Taala akan menimpa kepada seluruh penduduk kampung tanpa mengira sama ada mereka terlibat ataupun tidak di dalam kegiatan maksiat ini.

Gambar di bawah ini pula beliau tampilkan sebagai bukti akan acara joget lambak pada malam itu. Perhatikan sahaja keadaan rumput yang dipijak-pijak oleh para penari joget lambak yang kebanyakkannya berada di bawah pengaruh arak.

Semoga perkara maksiat sebegini dapat dicegah dengan segera agar tidak berulang kembali kerana sebuah kampung yang penduduknya beragama Islam tidak sepatutnya hanya mendiamkan diri dan membiarkan perkara-perkara maksiat berleluasa di sekeliling kita.
"Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mencegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

0 comments: