Samy Vellu terlupa di hari jadi. Dia yg kasi BN lingkup dlm PRU 12

|

Impian Hari Jadi Samy Vellu Agar BN Menang Besar Dalam Pilihan Raya Umum Akan Datang
08 Mac, 2010 21:17 PM
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang genap berusia 73 tahun hari Isnin, berkata impian hari jadinya adalah supaya Barisan Nasional (BN) "menang besar" dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya mahu BN menang dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, sebahagian besarnya pengerusi cawangan MIC dan handai taulan, bagi meraikan hari jadi beliau di ibu pejabat MIC di sini.

Samy Vellu berkata tidak mustahil untuk BN meraih "kemenangan besar" dalam pilihan raya umum akan datang, jika dinilai daripada "prestasi cemerlang" kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada anggota parti supaya bekerja lebih keras dan tidak berasa puas hati dengan kejayaan lalu memandangkan pilihan raya umum akan datang "akan menjadi ujian besar bagi BN."

Beliau berkata sejak pilihan raya umum lepas yang diadakan genap dua tahun terdahulu, iaitu pada 8 Mac 2008, MIC telah bekerja keras bagi mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat India.

"Kami telah melaksanakan pembaharuan dan perubahan kepada parti supaya lebih berorientasi rakyat," katanya.

Samy Vellu turut mengulangi bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, sambil berkata beliau kini dalam tiga tahun terakhir penggalnya sebagai Presiden parti.

"Saya mahu pemimpin muda supaya menjadi peneraju. Mereka mesti diberi peluang," kata Samy Vellu, yang memimpin MIC sejak 1979. Beliau dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden MIC tahun lepas, dan penggal beliau akan berakhir pada pertengahan 2012.

Terdahulu, ketika berucap, Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada pengerusi cawangan MIC kerana memberi beliau sokongan tidak berbelah bagi memimpin parti.

"Tanpa pengerusi cawangan, saya tidak akan berdiri di sini hari ini. Mereka adalah penghubung kepada setiap pemimpin dalam MIC," katanya, sambil menambah pengerusi cawangan, yang berada begitu hampir dengan akar umbi, akan menentukan masa depan parti dan BN dalam pilihan raya umum akan datang. -- BERNAMA

0 comments: