Untuk lawan UMNO pergerakan kita mesti sepantas Rashid Maidin

|

Dari blog Lanailestari

Ada satu peristiwa kecil – beritanya menarik - , pada satu hari aku telah menerima panggilan melalui telefon dari seorang rakanku dan rakan Rashid Maidin, iaitu Allahyarham Shaharuddin,”...datang segera ke Gopeng, ...rumah mak Suri Nandih...,Rashid Maidin balik.”

Aku telah pergi ke rumah ibu Rashid Maidin, Allahyarhamah Suri binti Nandih, di Gunung Misah, Gopeng. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku jadi terpegun dan sedih kerana Mak Suri Nandih telah meninggal dunia. Jenazah sedang terbujur di tengah rumahnya. Aku nampak, di antara orang-orang yang sedang membaca ayat-ayat Quran dekat jenazah itu, iaitu seorang lelaki telah berumur sedang membaca Quran di sisi mayat jenazah tersebut. (Foto) Allahyarham Rashid Maidin

LORI KECIL

Aku mulai cam lelaki itu, tetapi entah mengapa aku seperti terpukau melihatnya. Aku telah duduk dan membaca surah Yasin bersama orang-orang lelaki di situ yang jaraknya kira-kira lima meter dari lelaki itu. Apabila aku selesai membaca surat Yasin, aku mendapati lelaki itu telah tiada lagi di sisi jenazah itu. Sebaik-baik aku selesai membaca surah Yasin, aku bergegas turun turun dari rumah itu dan hatiku bertanya,”...diakah Rashid Maidin?”.

Sambil turun dari rumah itu aku merenung ke jalan raya yang jaraknya dari rumah itu kira-kira tiga ratus meter. Atas jalan raya sebuah lori kecil, membawa buah-buah pisang muda baru bergerak, ke arah pekan Gopeng.

Selesai memakai kasut di kaki tangga itu aku telah berjalan ke arah beberapa orang lelaki sedang duduk atas bangku panjang tepi halaman tumah itu. Di antara mereka itu ,ialah dua orang rakanku, Allahyarham Shaharuddin dan Allahyarham Mustafa Hussein. Allahyarham Shaharuddin telah berbisik ke telinga kananku, ”...dia (Rashid Maidin) datang tadi, sempat baca Yasin, ...dah pergi dengan lori pisang.”

Aku telah duduk dekat mereka dan meneguk secawan air kopi ’o’ yang telah disediakan di situ. Kira-kira setengah jam kemudian, dua buah Land Rover membawa sepasukan anggota-anggota polis telah masuk ke halaman rumah itu. Mereka itu lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan memuntahkan pelurunya. Beberapa orang dari mereka telah naik ke rumah tempat jenazah Suri Nandih sedang terbujur dan anggota-anggota polis yang lain telah berkawal di sekitar kawasan rumah itu.

”Nampaknya, Rashid lebih pandai dari polis...,” bisik Mustafa Hussein.

Pada ketika itu aku kagum terhadap kesetiaan dan kasih seorang anak kepada ibunya, walau dalam keadaan yang membahayakan dirinya – kemungkinan peluru-peluru api akan menembusi tubuhnya - , namun dia datang juga mengadap jenazah ibunya.

0 comments: