Pasukan F1 1Malaysia dijangka akan lingkup sebab enjin tak power

|

PASUKAN Formula Satu (F1) negara, Lotus F1 Racing Team akan melakukan uji pandu pada 5 Februari ini, seminggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan sebelum ini (12 Februari).

Langkah tersebut adalah untuk memastikan kereta itu bersedia untuk ujian sebenar pada Grand Prix Bahrain, Mac depan.

Ketua pegawai teknikal pasukan itu, Mike Gascoyne berkata, berikutan tarikh untuk uji pandu itu sudah disahkan, ia akan dipandu di trek buat pertama kalinya pada ujian rasmi ketiga di dua litar di Sepanyol iaitu di Jerez (17 Februari) dan Barcelona (25 Februari).

“Kami juga menyasarkan untuk menguji (enjin) chasis pada dua hari terakhir ujian di Barcelona.

“Ini pastinya akan menjadi dorongan kepada semua orang selain mempamerkan kerja keras yang telah kami lakukan sejak penyertaan kami dalam Grand Prix (GP) Formula One (F1) Dunia disahkan pada 12 September lalu,” katanya.

Gascoyne berkata, program pembangunan sedia ada akan menyaksikan kerja-kerja mengemaskini pada Grand Prix Sepanyol pada Mei depan.

“Kami menyasarkan untuk mendahului pasukan-pasukan baru di Bahrain dan kami juga mahu memberi saingan kepada pasukan terkemuka selepas beberapa perlumbaan pertama musim ini.”

Perlumbaan pembukaan F1 musim 2010 akan bermula di Bahrain pada 14 Mac diikuti GP Australia (28 Mac) dan GP Malaysia (4 April).

Pasukan Lotus F1 Racing telah memilih Jarno Trulli dari Itali, Heikki Kovalainen dari Finland dan pelumba Malaysia, Fairuz Fauzy sebagai pemandu untuk menerajui perlumbaan sulung musim F1 2010. - Bernama

0 comments: