Kelantan maju tapi Malaysia mundur, camno tu?

|

Kelantan berjaya kurangkan kadar kemiskinan
Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Jan: Kadar kemiskinan di Kelantan telah menurun kepada 4.1 peratus pada 2008 berbanding 7.2 peratus pada 2007 dan 10.4 (2004).

Ini bermakna kadar kemiskinan di Kelantan 0.3 peratus lebih tinggi daripada purata kadar kemiskinan peringkat negara iaitu 3.8 peratus.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bagi kategori penduduk miskin tegar Kelantan hanya mempunyai 0.6 peratus, di mana jumlah itu jauh lebih rendah berbanding peringkat kebangsaan 0.8 peratus.

Beliau berkata, perangkaan tersebut didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika rombongan Kelantan datang berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi perlaksanaan RMK-10, 25 Januari lalu.

Husam yang juga salah seorang anggota rombongan berkenaan berkata, taklimat diberi berhubung prestasi ekonomi Kelantan yang begitu menggembirakan.

Tambahnya, pada masa yang sama KDNK Kelantan pada 2007 dan 2008 buat pertama kali jauh lebih tinggi berbanding KDNK peringkat kebangsaan.

“ni kerana sejak 2006 KDNK telah berkembang kepada 5.9 peratus, 2007 (7.5 peratus) dan 2008 (5.1 peratus),” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Berbanding dengan kerajaan Persekutuan pada tahun 2006 (5.8 peratus), sedangkan Kelantan (5.9 peratus).

Pada 2007 KDNK Persekutuan 6.2 peratus, manakala Kelantan 7.5 peratus dan 2008 kerajaan pusat 4.1 peratus, manakala Kelantan 5.1 peratus.

“Alhamdulillah kerajaan negeri bersyukur kerana KDNK Kelantan mengatasi kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada usahawan, pelabur, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang bersama-sama melaksanakan beberapa pembaharuan sehingga membuahkan hasil positif.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan Kelantan membantu kerajaan pusat ke arah bagi membasmi kemiskinan telah menampakkan hasilnya dalam tempoh lima tahun.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam sektor agropolitan bagi mempercepatkan pengurangan tahap kemiskinan di negeri ini.

Katanya, seramai 750 peserta akan ditempatkan pada fasa 1 program agropolitan di Paloh, Gua Musang.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri akan memberi hak milik tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Tanah-tanah tersebut akan dijadikan asas penempatan penduduk bagi program di bawah ECER. Setiap peserta akan mendapat pendapatan minima sebanyak RM1,000 sebulan,” ujar beliau.

Peserta terlibat akan diberi rumah yang siap dibina dan kemudahan asas lain.

Beliau juga berkata, Kelantan turut mencadangkan supaya dapat dipercepatkan beberapa projek pembangunan seperti pembesaran landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Kita juga memohon untuk pembesaran jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai agar diselesaikan dahulu walaupun akan disambung dalam RMK-10,” katanya. - Harakah

0 comments: