Hanya orang yang bengong & dayus sabar kala agama dihina

|

Kalimah Allah: Sabar tunggu rayuan, kata Rais
Semua pihak diminta tidak terlalu ghairah mengemukakan pandangan masing-masing mengenai keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kepelbagaian pendapat yang disuarakan itu dikhuatiri mampu menghilangkan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Sedangkan isu ini bukan isu baru...isu ini sudah lama. Oleh itu kita sabar dahulu dan tunggu sistem rayuan yang akan dimulakan oleh pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sorakan Gema Cahaya di ibunegara malam tadi, lapor Bernama.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata JPM kan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan "Allah" di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Justeru itu, beliau meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.

0 comments: