Akibat gatal sangat nak buat laporan polis, SPRM kena tindakan

|

Pegawai SPRM kena tindakan hina mahkamah
Jan 7, 10 11:05am
Mahkamah Koroner Shah Alam, yang mendengar inkues punca kematian Teoh Beng Hock, mengarahkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas memerintahkan prosiding tersebut terhadap pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya, Raub Ghani, didengar pada 15 Januari ini.

Pada 1 Januari lalu, pegawai itu membuat aduan polis agar pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, disiasat kerana disyaki membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua, 22 November lalu, kepada pihak tidak sewajarnya.

Aduan polis dibuat susulan penerbitan berita 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh' di akhbar rasmi PKR Suara Keadilan edisi 29 Disember - 5 Januari yang menyimpulkan bekas setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, mati dibunuh.

Dr Pornthip, yang dilantik oleh kerajaan Selangor, kemudian dilaporkan enggan memberikan keterangan pada inkues tersebut kerana bimbang berdepan tindakan tersebut.

Permohonan terhadap Raub dibuat oleh peguam Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo, kedua-duanya mewakili keluarga Teoh, dalam prosiding inkues yang bersambung pagi ini.

Teoh ditemui mati dekat pejabat SPRM di Shah Alam, 16 Julai tahun lalu - kematian yang menjadi kontroversi politik terhangat tahun lalu sehingga kerajaan mengarahkan inkues tersebut diadakan dan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat tatacara siasatan SPRM.

0 comments: