Wasiat Almarhum TG Haji Sabran bin Haji Asmawi

|

Memang terdapat ayat al-Qur'an[26] dan hadis Nabi s.a.w, supaya kita berwasiat sebelum meninggal dunia, namun tidak semua orang dapat melaksanakannya. Orang-orang sufi sangat memandang penting perkara wasiat ini. Atas alasan itu, Allahyarham TG yang termasuk salah seorang daripada Guru dan Khalifah bagi Tareqat Mujaddidiyah as-Sammaniyah an-Naqsyabandiyah (ﻃﺮﻳﻘﻪ اﻟﻤﺠﺪدﻳﻪ اﻟﺴﻤﺎﻧﻳﻪ اﻟﻨﻘﺸﺒﻨﺪﻳﻪ), ada meninggalkan beberapa wasiat/nasihat sebelum berangkat ke tanah suci Mekah

(مكة المكرمة) untuk menunaikan fardhu haji. Walaupun kata-kata nasihat/wasiat tersebut lebih tertumpu kepada anak-anak, ahli keluarga serta anak murid untuk menjadi pedoman, tetapi ia dilihat sangat relevan dan berguna untuk dikongsikan bersama dengan seluruh umat Islam. Di antaranya:

  1. Jangan tinggal solat. Kerana solat adalah tiang agama, ibarat rumah yang tiada tiang pasti rumah tidak dapat dibangunkan. Islam terbangun dalam diri, masyarakat dan negara adalah dengan terdirinya solat di setiap kalangan penganutnya. Selagi ia diabaikan pasti Islam sukar membangun atau dibangunkan. Solat juga jalan bagi segala orang yang mutaqin dan menyejukkan mata hati bagi Rasulullah s.a.w dalam mensyahadahkan tuhannya. Sembahyang berjamaah di masjid atau surau adalah yang paling afdhal untuk mendapatkan lebih darjat dan juga meningkat ukhuwah Islamiah sesama kita.
  2. Sering-seringlah menziarah kubur ibu. Menziarah kubur mengingatkan kita kepada mati yang semakin hari semakin menghampiri. Perbanyakkanlah mengigati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya berzuhud dalam urusuan dunia. Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapinya. Mereka itulah orang-orang yang bijaksana. Dengan selalu mengingati mati juga, kita akan lebih termotivasi untuk melakukan amal ibadat dan kebajikan buat bekalan akhirat. Beramal seolah-olah kita hendak mati hari esok, dan berkerjalah seolah-olah kita akan hidup hingga 1000 tahun lagi. Oleh itu beramal hendaklah kita segerakan berbanding mengejar kehidupan di dunia.
  3. Jangan bertelagah sesama sendiri soal harta. Harta dunia tidak memberi apa-apa manafaat kehidupan akhirat melainkan yang dibelanjakan ke arah yang diredhai Allah Ta'ala, berjihad dengan harta dan wang ringgit ke jalan Allah Ta'ala adalah tukaran jual beli yang paling tinggi nilaiannya di sisi Allah Ta'ala.
  4. Harta pusaka hendaklah dibahagikan mengikut hukum faraid. Ilmu tentang Hukum faraid adalah ilmu yang paling awal diangkat atau dicabut oleh Allah Ta'ala dari muka bumi, maka dengan itu berusahalah sedaya upaya mempertahankannya dalam diri dan keluarga dan keturunan generasi kita akan datang supaya ia kekal hingga hari akhirat.
  5. Harta yang telah dihebahkan (hadiah), diwaqafkan tidak perlu dipersoalkan. Tiada apa yang hendak dikejar atas muka dunia ini. Bekalan hari akhirat adalah yang paling penting. Sebagai penyambung amalan agar berterusan walaupun kita sudah mati adalah melalui 3 perkara. Salah satu daripadanya adalah meninggalkan harta waqaf termasuk dalam harta yang disedekahkan.
  6. Jangan abaikan pendidikan keluarga. Pendidikan adalah penting untuk mendapat ilmu, tuntutan ilmu adalah amal. Orang yang berilmu tidak beramal ibarat pohon yang tidak berbuah dan lebih dahulu di siksa oleh Allah Ta'la berbanding orang lain. Orang yang beramal tapi tidak berilmu itu pula akan menjadi sia-sia sahaja. Tidaklah sama darjat antara orang yang berilmu dan tidak berilmu dengan beberapa darjat yang tinggi. Orang berilmu akan diangkat tinggi, berhati lemah lembut dan akan ditunaikan segala hajatnya oleh Allah Ta'ala.
  7. Tuntutlah ilmu selagi terdaya. Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim. Pepatah ada menyebutkan dari buaian hingga ke liang lahat from cradle to grave. Berusahalah untuk menuntut ilmu agama, ia menuntut kepada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. "Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah Ta'ala, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan diilhamkan-Nya petunjuk di dalamnya..yufaqqihu-fid-din" (ﻳﻔﻘﻬﻪ ﻓﻲ اﻟﺩﻳﻦ).
  8. Utamakan hubungan kekeluargaan dari yang lain. Jika hendak membantu, bantulah ahli keluarga sendiri dahulu, itu yang lebih afdal dari pada membantu orang lain. Hatta jika hendak memberi zakat lebih afdal kepada ahli keluarga yang layak dahulu. Ia pasti dapat menjalinkan hubungan silahturahim yang lebih akrab.

Wasiat yang dilafazkan pada malam 19hb Disember 2006 itu; ternyata telah memberi kesan yang amat mendalam kepada setiap yang hadir. Lenggok bahasa dan cara penyampaian memang agak lain dari pada biasa. Bagi yang mempunyai mata hati yang terang pasti dapat menangkap; itulah kata-kata wasiat terakhir seorang yang bakal pergi jauh menemui tuhan yang maha pencipta.

Pada 2hb-Jan 2007, di waktu dinihari sekitar jam 1:30 pagi, seluruh ahli keluarga telah dikejutkan dengan panggilan telefon terus dari ibu Hajjah Noraini Hj Hussain yang berada di Mekah dengan pengkhabaran berita yang amat sedih. Dalam keadaan hiba sambil menangis ibu memberitahu bahawa “Abah” [22] kesayangan telah tiada lagi.

Pada waktu itu di Mekah, masih lagi awal sekitar jam 8:00 malam 1hb Jan-2007 bersamaan dengan Isnin 11-Zulhijjah 1427H. Diceritakan oleh isteri Pn Hajjah Noorani, bahawa selesai solat Maghrib, ketika memulakan perjalanan untuk melontar ke Jamrah setelah berhenti berehat untuk melepaskan kepenatan, Allahyarham TG rebah dan terus tidak sedarkan diri. Di ketika itu, Noorani yang berada tidak jauh hanya mendengar perkataan “Allah” (اﻟﻠﻪ) sebelum sempat memaut bahagian belakang dan Allahyarham TG terus rebah ke pangkuannya.

Setelah itu, Allahyarham TG segera dibawa oleh isteri dan beberapa orang petugas keselamatan di tempat kejadian ke pusat perubatan yang berdekatan[23]. Sejurus tiba di situ, Allahyarham TG disahkan telah meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

0 comments: