UMNO perosak bolasepak Malaysia

|

Badi menggondol kejuaraan di persada antarabangsa seketika dapat di atasi apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 terhadap Vietnam. Penantian 20 tahun seakan-akan terubat selepas kali akhir kita meraih emas adalah di Sukan Sea 1989 di Kuala Lumpur.

Namun, di saat anak-anak muda khususnya meraikan kemenangan tersebut, pengurusan bolasepak negara masih boleh dipertikai. Ucapan tahniah khas buat pemain, jurulatih dan pengurus; bukan sama sekali buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sewajarnya sudah lama rakyat Malaysia boleh berbangga dengan sukan ini apabila sejak dahulu kita melahirkan nama-nama lagenda seperti Mokhtar Dahari, R Arumugam, Wong Chin Aun, Santok Singh, Dollah Salleh dan Zainal Abidin.

Sayang seribu kali sayang, sejak liga profesional diperkenalkan, orang politik mula mengintai ke arah padang sebagai platform untuk meraih populariti mudah kerana sukan ini adalah sukan popular. Di sinilah, punca bencana yang sekian lama dideritai peminat bolasepak.

Lihat sahaja bagaimana seseorang yang mahu bertanding ke jawatan Ketua Pemuda Umno tiba-tiba cuba muncul sebagai tokoh bolasepak nasional tanpa rasa malu dan bersalah.

Ramai yang bertanya bagaimana Naib Presiden Persatuan Bolasepak (FAM) yang bertakhta hari ini tiba-tiba muncul di dalam senarai kepimpinan FAM dengan sekelip mata?

Dia dengan begitu cepat pula dapat mewujudkan sebuah pasukan yang dikenali sebagai “Myteam”, yang pasti perlu dana berjuta ringgit namun akhirnya juga tak ke mana. Andai disoroti kembali semua itu tak lebih hanya sebagai bahan kempen menuju pertandingan ketua pemuda Umno sahaja.

Sewaktu Abdullah Badawi memegang kuasa, ada tokoh-tokoh Umno yang lemas di zaman Dr Mahathir Mohammad. Mereka pun berusaha untuk muncul semula di era Abdullah. Untuk itu antara langkah bodek yang dibuat ialah dengan menawarkan jawatan setiausaha Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) kepada menantu Abdullah.

Daripada tawaran yang dibuat oleh Zahid Hamidi itulah maka Sang Menantu mendapat tiket untuk bertanding ke jawatan Naib Presiden FAM. Beliau pun segera menggunakan agen-agen dan Pemuda Umno di dalam persatuan-persatuan bolasepak di beberapa negeri untuk memastikan FAM segera berada di bawah tapak kakinya.

Hari ini, apabila Abdullah sudah tiada, maka Menantu kembali terkapai-kapai dan tidak dapat mendada sombong seperti tempohari.

Memang… itu dia punya pasal! Apa yang lebih penting, seperti yang saya katakan tadi, berapa lama kita mahu melihat persatuan-persatuan bolasepak ini dikawal dan ditunggangi oleh orang politik dan istana? Kasih dan ketaatan kita kepada mana-mana Sultan Melayu bukan bermakna kita harus merelakan persatuan bolasepak juga berpanjangan berada di bawah kawalan istana sehingga kita menganggapnya sebagai sesuatu yang wajib atau norma.

Begitu juga kita tak boleh mudah melepaskan kepentingan sukan dan bolasepak kepada manusia seperti Khairy Jamaluddin yang punya agenda peribadinya yang sempit, dan nafsu politiknya ternyata lebih besar daripada ikhlas melihat perkembangan dan kepentingan bolasepak nasional itu sendiri. Ketidakbertangjawapan sebegini menjadikan semangat dan ketahanan psikologi pemain terganggu.

Pemain bukannya bodoh! Mereka bukannya tak dapat melihat bagaimana mereka seakan-akan diperhamba, diperah kederat di tengah padang; namun yang meraih keuntungan, yang kaya-raya di atas platform FAM adalah kalangan orang-orang politik yang tidak ikhlas itu.

Lalu tidak hairanlah apabila gejala rasuah kalangan pemain menjalar dan sukar dibendung. Seorang bekas pemain pernah mengadu hal seumpama kepada saya. Katanya, dia yang awalnya jujur untuk mewakili negeri dan negara, akhirnya mengambil jalan kotor bergelumang dengan rasuah, menjual permainan kerana “tak cukup makan”. Gaji yang diterima hanya sekitar RM3 ribu ke sekitar RM5-RM6 ribu sahaja.

Itupun tatkala berada di tahap kemuncak karier, sedangkan umur seseorang pemain juga jadi faktor penentu persembahan mereka di padang. Dalam erti kata mudah, apabila melewati umur 30-an sahaja, seseorang pemain itu perlu bersara. Bagaimana nasib pemain yang pernah mewakili negeri atau negara selepas bersara?

Atas kebimbangan ini, bagi ramai pemain yang ‘pragmatik’, tak perlu lagi kejujuran. Hidup perlu wang, dan mereka pun mula menjual permainan. Bagi sesebuah perlawanan, kadang ‘pulangannya’ sehingga RM3 ribu dengan bergantung kepada broker mana mereka ada hubungan. Maknanya sebulan dengan minima 4 perlawanan, maknanya paling kurang pungutannya ialah RM12 ribu; lebih separuh lebih tinggi daripada gaji mereka yang kononnya sebagai pemain profesional.

Sesiapa yang cuba untuk jadi baik dan ’suci’ akan lazimnya diboikot di padang dan di luar padang! Mereka akan diberitahu, “kau lihatlah sendiri, orang atasan senang-lenang, kita yang jadi seperti kerbau sawah!”

Kalangan pemain muda, seperti pemain di bawah 23 tahun yang menggondol emas di Loas, akan pelan-pelan jadi korup. Fikiran mereka akan rosak sepertimana kebanyakan senior-senior mereka.

Realiti ini tak ramai sedari, atau menyembunyikannya. Atas realiti ini jugalah saya sangat bersimpati dengan pemain muda yang baru hendak mengenali erti “dunia bolasepak yang sebenarnya”. Lantas, kita memang wajar memberikan penghormatan yang tinggi untuk pemain muda kita di Laos, yang membawa pulang pingat emas; tetapi masalah sebenar bolasepak seperti yang saya nyatakan di atas memerlukan iltizam politik yang kuat untuk mengatasinya.

Hanya dengan itu, cahaya dan sinar baru bolasepak nasional bisa muncul dan rakyat akan sama-sama berbangga berdiri untuk menyanyikan lagu “Negaraku” setiap kali kejayaan diraih. Bolasepak perlu menjadi antara Agenda Reformasi kalangan generasi muda.

0 comments: