Senang je kalau nak naik highway secara PERCUMA!

|

PR perintah TOL lupus dalam 7 tahun
Wednesday, 23 December 2009 4:20 PM
Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR 23 Dis: Rakyat negara ini akan menikmati pakej percuma ketika menggunakan seluruh lebuhraya selepas 7 tahun memerintah negara. Perkara ini seperti mana tercatat dalam persetujuan bersama Konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung pada 19 Disember lalu.

Sekretariat Kementerian Kewangan Pakatan Rakyat, Dr. Zulkifly Ahmad berkata, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai kerana PR melaksanakan dasar kepimpinan yang berintegriti, pro rakyat dan urus tadbir yang baik bagi memastikan kesejahteraan rakyat negara ini terbela.

Menurutnya, jika PR diberi peluang untuk memerintah Malaysia pada PRU ke 13, pihaknya akan merunding semula segala perjanjian tol di negara ini termasuklah Projek Lebuharaya Utara Selatan (PLUS) dan semua konsesi tol seluruh negara.

“Dasar penswastaan oleh rejim BN terutamanya di era Mahathirisme telah menghasilkan kesan yang buruk kepada rakyat kerana segala projek dilaksanakan ada kaitan dengan kroni dan kepentingan politik BN semata-mata.

"Segala kos telah di ambil perkiraan untuk manfaat semua pihak dalam BN dan pemimpin-pemimpin mereka maka tidak ada jalan lain bagi pihak konsesi selain menaikkan tarif tol yang akhirnya amat membebankan rakyat.

Oleh itu, Insya’allah, sebaik sahaja kita menduduki Putrajaya, kita akan mengkaji keseluruhan projek penswastaan di negara ini termasuk penswastaan air bagi memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen (MP) Kuala Selangor memberitahu, dasar menghapuskan tol itu munasabah untuk dicapai dan dilaksanakan kerana ia telah diperhalusi, diteliti dan dirunding secara kolektif oleh golongan yang arif mengenainya dalam PR.

Beliau memberi contoh kerajaan Selangor yang dipimpin oleh PR berupaya untuk mengurangkan cukai air tetapi dihalang oleh rejim BN yang masih memerintah kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, Zulkifly berharap rakyat Malaysia terus memberi sokongan padu kepada PR agar cita-cita bersama untuk melihat negara ini diurus tadbir dengan baik dapat direalisasikan dengan jayanya.

Terdahulu, dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 19 Disember lalu, PR antara lain menyatakan bahawa dengan merunding semula segala perjanjian tol di negara ini termasuklah Projek Lebuharaya Utara Selatan (PLUS), tol di Malaysia mampu dilupuskan dalam tempoh tujuh tahun melalui urus tadbir negara yang telus, berintegriti dan bebas dari ketirisan kebocoran.

Ketua Pengarah Audit Negara sebelum ini melaporkan negara kehilangan RM 28 Bilion setahun akibat pelbagai ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

0 comments: