PERMATA Putar idea Rosmah, rakyat luar bandar dapat habuk

|

Selangor Persoal PERMATA Pintar
SHAH ALAM, 8 Dis: Kerajaan Negeri Selangor mempersoalkan kewajaran langkah Kerajaan Persekutuan dalam memperkenalkan Program PERMATA Pintar untuk memberikan pendekatan pembelajaran yang berbeza kepada pelajar pintar cerdas sedangkan mutu pendidikan secara keseluruhan merosot.

Perdana Menteri Najib Razak kelmarin menyatakan hasrat kerajaan pusat mewujudkan Program PERMATA Pintar untuk memberi tumpuan kepada pelajar pintar, misalnya mengadakan tadika pintar dan sekolah pintar.

“Sebenarnya BN telahpun memperkenalkan 300 buah Sekolah Kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) sejak tahun 2007, jadi kami tidak jelas apa perbezaan Sekolah Kluster dengan Program PERMATA Pintar yang terbaru ini,” kata Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali dalam satu kenyataan media hari ini.

Halimah berkata, secara keseluruhan mutu pendidikan negara kita bertambah merosot, malah jurang taraf sekolah semakin melebar di antara kawasan maju dengan mundur.

“Sejauh manakah peluang terbuka kepada murid-murid dari sekolah-sekolah kampung, estet atau kawasan setinggan untuk menyertai program itu?”

“Dengan curahan wang yang banyak ke dalam program PERMATA Pintar yang bersifat ekslusif dan elitis, ianya mungkin boleh membantu segelintir pelajar yang mempunyai kecerdasan luar biasa, akan tetapi ia tidak akan memperbaiki keadaan pendidikan negara seluruhnya.”

“Sebaliknya menambahlebarkan lagi jurangnya dengan sekolah-sekolah terbiar di kawasan mundur,” ujar Adun Selat Klang itu.

Halimah menyarankan agar Kerajaan Persekutan fokus pada usaha mempertingkatkan infrastruktur sekolah khususnya sekolah bantuan modal sepertimana dilakukan di Selangor di mana RM16 juta diperuntukkan untuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Sekolah Persendirian Cina.

Berhubung dengan isu pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan mengambil tambahan dua mata pelajaran tetapi keputusan keseluruhan akan tetap mengambil kira 10 mata pelajaran teras, Halimah berpendirian keputusan kementerian itu jelas bercanggahan dengan konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri sendiri iaitu memberi tumpuan kepada pelajar pintar.

“Apa gunanya untuk mengadakan Program PERMATA Pintar jika kerajaan sendiri menghadkan potensi mereka yang pintar ini?,” soal Halimah.

Katanya, kerajaan sewajarnya mengambil kira semua mata pelajaran yang diambil bagi menggalakkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran berpeluang untuk terus maju ke depan.

0 comments: