Bukan tumbuk tapi hayun dengan replika gereja

|

Penyerang PM Itali minta maaf
MILAN - Penyerang Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menulis sepucuk surat untuk memohon maaf atas perbuatannya menyerangnya dengan satu replika gereja, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, lelaki tersebut, Massimo Tartaglia menyatakan bahawa dia bertindak bersendirian tanpa motif politik atau militan.

Dalam suratnya, Tartaglia, 42, menyatakan bahawa dia bersikap bacul dan tidak bertimbang rasa kerana melakukan serangan mendadak itu terhadap Berlusconi.

"Saya seperti dirasuk," katanya.

Surat itu dihantar ke hospital San Raffaele tempat Berlusconi dirawat oleh beberapa peguam lelaki tersebut.

Hidung Berlusconi patah dan bibirnya pecah apabila Tartaglia menggenggam sebuah replika gereja Milan dan menyerang mukanya ketika beliau menghadiri perhimpunan politik parti Kebebasan Rakyat pimpinannya di sini Ahad lepas.

Tartaglia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun sekiranya didapati bersalah mencederakan perdana menteri itu.

Setelah dua hari berada di hospital, doktor semalam menasihatkan perdana menteri berumur 73 tahun itu supaya berehat dan mengehadkan atur cara negara sekurang-kurangnya dua minggu.

Doktor peribadi Berlusconi, Alberto Zangrillo memberitahu, beliau akan dibenarkan meninggalkan hospital hari ini.

"Beliau (Berlusconi) perlu meninggalkan sebarang aktiviti yang boleh memberi tekanan atau melibatkan atur cara umum. Dia sudah boleh mengunyah makanan," katanya.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

Berlusconi telah membatalkan rancangan menghadiri sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada minggu ini.

Semasa di hospital, Berlusconi sempat menghantar mesej kepada para peyokongnya semalam dengan menyatakan, kasih sayang akan sentiasa mengatasi kebencian.

Perdana Menteri itu terjebak dalam beberapa kontroversi sepanjang tahun ini apabila dikaitkan dengan penyelewengan dan hubungannya dengan kumpulan mafia selain skandalnya dengan seorang model pakaian dalam wanita, Noemi Letizia pada April lepas. - Agensi

0 comments: