Pilihan Raya Kecil lagi: Kota Siputeh diisytihar kosong

|

KUALA LUMPUR - Pilihan raya kecil akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Abu Hasan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hasan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN Kedah hari ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hasan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada pukul 5.30 petang.

Sementara itu, SPR akan meminta nasihat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah.

"Kita mahu lihat sama ada SPR mempunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan)," katanya kepada Bernama semalam.

0 comments: